Awang Abdul Mu’iz calon tunggal Ketua Kampung Bokok



Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Daerah Temburong

 





TEMBURONG, Jumaat, 26 April. - Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Bokok, Mukim Bokok diadakan pada hari ini bertempat di Dewan Kemasyarakatan Mukim Bokok, Daerah Temburong.

 

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang diketuai oleh Imam Masjid Pengiran Haji Abu Bakar, Kampung Bokok, Awang Sokhrati @ Muhammad Hanafi bin Haji Bahrun.

 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pengiraan dan pengumuman undi.

 

Sebelum majlis dimulakan, terlebih dahulu diadakan pengundian melalui kaedah kertas undi bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi dan pengundian menggunakan aplikasi mudah alih e-Undi PMKK telah bermula pada Rabu, 24 April 2024.

 

Calon tunggal yang layak bagi mengisikan kekosongan jawatan Ketua Kampung Bokok ialah Awang Abdul Mu'iz bin Haji Kadir.

 

Beliau merupakan pemegang ijazah Sarjana Muda dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali dan pada masa ini bertugas sebagai Pengurus Restoran McDonald's, Makan Ceria Sendirian Berhad.

 

Daripada 154 orang yang berdaftar dan layak mengundi, seramai 66 telah mengundi calon untuk mengisikan kekosongan jawatan Ketua Kampung Bokok.

 

Daripada jumlah berkenaan, seramai 65 orang bersetuju dan seorang tidak bersetuju.

 

Hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Muhammad Usamah bin Haji Sarbini.

 

Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah, pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Pemangku Penghulu Zon 2, Ketua-ketua Kampung dan Pemangku Ketua Kampung di bawah tadahan Mukim Bokok.

 

Keputusan Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin dan Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, KHEDN bagi proses selanjutnya.

 

Close